Selasa, 21 Jun 2011

- Qawaid Fiqhiyyah -

Memahami Qawaid Fiqhiyyah: Kemudharatan Dihilangkan


Kemudharatan dihilangkan atau dihindarkan ataupun dalam istilah bahasa arab ia disebut الضرورة يزال merupakan kaedah yang keempat menurut silibus ilmu Qawaid Fiqhiyyah. Aplikasi kaedah ini adalah salah satu daripada prinsip Islam yang unggul demi menjaga kemaslahatan umat seluruhnya. Ini juga bertepatan dengan sabda Baginda SAW:
لاضرر ولاضرار
Bermaksud: Tidak mudharat dan tidak dimudharatkan
Terbit pula beberapa kaedah cabang daripada kaedah besar di atas. Antaranya bakal saya terangkan di bawah tajuk kecil kemudharatan khusus dan umum.
Tegasnya, kemudharatan khusus itu sebenarnya terbahagi kepada beberapa bahagian, kadangkala kemudharatan itu datang dengan lebih berat, adakalanya lebih ringan dan ada pula secara sama.
Para fuqaha’  telah menetapkan suatu kaedah berhubung dengan kemudharatan yang berbentuk umum. Ianya terkandung di dalam kaedah يتحمل الضرر الخاص لدفع ضرر عام (Ditanggung kemudharatan khas (khusus) untuk menolak kemudharatan umum).
DITANGGUNG KEMUDHARATAN KHUSUS UNTUK MENOLAK KEMUDHARATAN UMUM
Pada asalnya, setiap individu berhak melakukan sebarang perkara ataupun aktiviti yang memberi manfaat kepada kepada diri dan umum. Perkara itu semestinya terhindar daripada melakukan kerosakan dan kezaliman terhadap masyarakat umumnya.
Namun begitu, syariat bertindak menegah seseorang sekiranya individu itu melakukan kemudharatan ke atas orang lain, walaupun dirinya mengalami kemudharatan atas sebab tegahan itu. Justeru, kemudharatan ke atas dirinya itulah yang dinamakan kemudharatan khusus demi menolak kerosakan yang dilakukan ke atas orang  lain. Dan ianya diistilahkan sebagai kemudharatan umum.
Setelah jelas kita mengetahui apa yang dimaksudkan dengan kaedah di atas, maka untuk memudahkan kefahaman pembaca, saya datangkan misalan berbentuk peristiwa agar lebih mudah dihadamkan bersama.
TEGAHAN MENJUAL ANGGUR
Pada asalnya hukum menjual anggur  itu harus, tetapi ianya akan bertukar status hukum jika kita mengaplikasikan kaedah di atas.
“Mengapa pihak kami tidak boleh membeli anggur di ladang tuan?” Tanya seorang pemuda terpinga-pinga kehairanan.
“Maaflah encik, saya hanya akan menjual anggur ini kepada mereka membeli borong untuk tujuan jualan secara segar. Bukan diproses untuk merosakkan umat.” Jawab pemilik ladang anggur dengan wajah sinis dengan harapan pemuda itu sedar apa yang dilakukannya. Pemilik ladang itu tahu bahawa pemuda itu adalah salah seorang pengusaha minuman arak yang menggunakan anggur sebagai bahan utama.
Maka sekiranya pemilik ladang itu tahu siapa pembelinya, dia ditegah daripada berurusniaga dengan pemuda itu kerana ternyata anggur itu bakal diproses menjadi arak. Sudah pasti ianya mendatangkan kemudharatan yang besar kepada umat Islam jika arak itu menjadi minuman seharian. Kerugian sedikit yang sedikit tidak mengapa, asalkan tidak menanggung besar dosa azab diakhirat.
DILARANG BERNIAGA
Acapkali kedengaran pihak peniaga mengaut keuntungan berlipat kali ganda sekiranya berlaku kekurangan makanan. Malaysia salah sebuah negara yang sering dilanda masalah tersebut terutamanya jika kekurangan bahan makanan atau mentah ketika tiba musim-musim perayaan.
“Wah, mahal betul harga gula dan tepung sampai melambung berlipat kali ganda dari harga biasa.” Terkejut seorang surirumah apabila melihat label harga barangan yang agak mahal.
“Biasalah, sekarangkan dekat raya, orang ramai sana sini nak buat kek, kuah raya.. tambahan pula kami susah mahu dapatkan barangan dari pemborong, itu yang mahal mak cik.” Jelas seorang pemilik kedai runcit.
“Sekarangkan musim tengkujuh,  ikan payah nak dapat.” Jerit seorang peniaga ikan pasar malam pula.
Situasi di atas menggambarkan kepada kita bahawa para peniaga sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan sesuka hati ketika berlakunya kekurangan sumber bekalan makanan. Oleh itu, ianya mendatangkan mudharat kepada masyarakat umum khususnya mereka yang berpendapatan rendah. Sudah tentu kos belanjawan harian terjejas teruk dan ini juga memungkinkan mereka berhutang kerana tidak mencukupi wang. Realiti ini jelas berlaku, penduduk kampung saya adalah di antara jutaan masyarakat umum yang sering merungut hal sebegini.
Jadi, syariat menggariskan bahawa sekiranya ini terjadi maka pihak pemerintah seharusnya mengawal kembali imbangan harga barangan agar tidak memudharatkan rakyat.
MUFTI JAHIL KELUARKAN FATWA
Perkara ini tidak mustahil berlaku dan sememangnya ia pernah berlaku. Taraf mufti di sisi masyarakat Islam adalah tinggi berbanding golongan agamawan lain. Bahkan setiap butir bicara mereka akan menjadi ikutan awam kerana rakyat kebanyakkan lebih bersifat taqlid jika wujud sesuatu masalah. Muftilah yang akan mengeluarkan fatwa bagi menangani masalah yang terbit di celahan masyarakat. Tambahan pula, dunia Islam kini kepupusan ulama’ mujtahid sepertimana zaman kegemilangan Islam silam.
Terkandung dalam kaedah ini, sekiranya mufti jahil tersebut sewenang-wenangnya mengeluarkan fatwa yang jelas menyimpang dari ajaran Islam sebenar sehingga merosakkan fikrah umat, maka pihak berkuasa berhak menghalangnya segera. Jika tidak ia dibimbangi menyebarkan helah hasil fatwa sesat tersebut kepada umum.
MEMBANTERAS PEMBUNUH DAN PENCURI
“Getah di kebun Mak Teh dan Pak Teh Man kena curi dengan orang..” Beritahu emak.
Geram, mual dengan aktiviti yang tak berkesudahan ini.
Bukan senang para pekebun kecil berhari-hari membanting tulang, memerah keringat untuk mendapatkan seguni getah beku. Kadangkala memakan masa berhari-hari untuk memperolehi hasil seguni itu. Itu belum dibahagikan hasil kepada dua bahagian, misalnya seguni harganya RM100, satu bahagian untuk penoreh getah dan sebahagian lagi untuk pemilik kebun.
Bayangkan jika seminggu hujan tanpa henti, para penoreh tidak boleh bekerja. Sudah tentu ianya mendatangkan kesukaran kerana pendapatan mereka terjejas. Lebih terjejas jika pencuri tidak berhati perut mengaut segala hasil getah yang diperolehi. Apakah ini tidak mengguris perasaan pekebun kecil yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang?
Begitu juga sekiranya berlaku kes pembunuhan. Apakah akan terjadi sekiranya pembunuh ini terus menerus melakukan aktiviti bunuh itu terhadap masyarakat awam? Tidakkah ianya mendatangkan mudharat?
“Dan dalam qisas itu ada (jaminan) kehidupan bagimu, wahai orang-orang yang berakal, agar kamu bertakwa.” (Al-Baqarah:179)
Justeru, syariat menetapkan hukum had kepada para pembunuh dan pencuri yang didakwa. Pembunuh dihukumQisas (bunuh balas) dan pencuri dikenakan hukuman potong tangan.
Wallahualam~~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...